Melihat kriteria lelaki idaman yang sering dikongsikan wanita dalam media sosial, ramai juga pada penglihatan penulis menyatakan impian mahu bersuamikan lelaki tinggi.
Bagi sesetengah wanita, didampingi lelaki yang mempunyai ketinggian lebih mungkin adalah sesuatu yang istimewa. Realitinya, untuk seorang lelaki yang dianugerahkan ketinggian – sebenarnya turut membawa kepada beberapa kelemahan ketara.
Ramai lelaki nak tinggi. Ramai wanita hendak bersuamikan lelaki tinggi. Untuk lelaki yang tinggi, hidup ini bukanlah indah sepanjang masa. Ini lima kelemahan utama yang ada.
1. Susah nak cari pakaian – kalau kurus
Satu kelemahan utama lelaki bertubuh tinggi akan kelihatan setiap kali dia perlu mencari pakaian. Lagilah ketara jika dia seorang yang bertubuh langsing dan kurus.
Membeli seluar yang dijual di gedung beli-belah sukar kerana kebanyakan seluar dibuat panjangnya mengikut ukuran pinggang. Lebih besar ukuran pinggang, lebih panjang potongan seluar.
Bagi lelaki yang kurus tetapi memerlukan seluar yang panjang, dia akan berhadapan masalah hendak menemui seluar yang sempurna untuknya. Baju yang dibeli juga besar kemungkinan akan berhadapan situasi sama; nampak tergantung apabila dipakai dan senteng sahaja.
Nak yang panjang dan sesuai dengan ketinggian tubuh? Kena beli yang saiz besar pula. Akhirnya terpaksalah beli yang besar, menyebabkan baju menggeleber apabila dipakai. Ramai juga yang mengalah, memilih untuk membesarkan saja pinggang mereka.
2. Kaki terkeluar katil ketika tidur
Untuk orang Malaysia yang bersaiz purata, saiz katil standard yang dijual di Malaysia mungkin kena dengan anda. Tetapi apabila pasangan anda mencecah ketinggian 6 kaki atau lebih, katil kelamin anda tu adalah satu cabaran besar kepada dia.
Anda pernah tengok individu tidur dengan kaki terjulur keluar dari tilam? Tak selesa tidur dalam gaya sedemikian rupa.
Satu-satunya solusi kepada masalah ini adalah dengan menyengetkan badan dari satu bucu ke satu bucu berbeza. Memang ruangan yang ada bertambahlah dan mungkin jadi mencukupi. Tapi isteri nak tidur mana?
Bila dah bersuami isteri tu, sekali-sekala nak lah juga tidur berdua kan? Jika ramai wanita mengidam lelaki tinggi, fikir masak-masak. Anda sanggup ke tidur atas lantai hanya untuk memastikan suami tinggi lampai anda dapat tidur selesa?
3. Susah nak selesa duduk atas kerusi
Sama seperti tilam dan katil, kebanyakan kerusi di Malaysia tak kiralah kerusi meja makan atau kerusi dalam kereta memang sukar untuk disesuaikan dengan individu lebih 6 kaki tingginya. Melainkan kereta Eropah agaknya…
Kalau duduk lama-lama, kerusi yang ada majoritinya tak mampu menampung ukuran peha yang terlebih menyebabkan kaki mudah rasa letih. Paling sedih, rasa seksa dan sempit bila perlu memandu kenderaan dalam jarak jauh.
Sudahlah kaki tak disokong dengan baik oleh kerusi pemandu, lutut pun terkeluar akan bergesel dengan stereng ataupun terlanggar bahagian konsol tengah kereta.
Anda masih rasa bersuamikan lelaki tinggi bahagia bila dia secara tak sengaja terpadamkan pendingin hawa kereta bila lutut terkena butangnya?
4. Dilema kabinet dapur
Bayangkan, anda seorang wanita berketinggian purata standard orang kita.
Sementara suami anda pula 6 kaki 3 inci tingginya. Jika kedua-dua anda dah berumah tangga dan mahu membina dapur idaman anda sekeluarga, nak buat kabinet dapur tu anda utamakan ukuran kesesuaian siapa?
Adakah anda akan ukur supaya ketinggian itu sesuai untuk wanita, sehingga memerlukan suami terbongkok-bongkok nak potong bawang atau basuh pinggan?
Atau nak ikut dan sesuaikan dengan ketinggian suami, nanti isteri pula payah nak memasak. Nak siang ikan mula rasa kebas di bahu kerana perlu mengangkat sedikit bahagian atas badan.
Nak capai kabinet dapur bahagian atas pun kena gunakan kerusi atau tangga kecil. Anda masih lagi nak suami yang tinggi lampai? Pilih kaum Hawa – suami tinggi atau kabinet dapur yang sesuai untuk anda guna setiap hari? Fikir masak-masak.
5. Lelaki tinggi akan ada masalah postur
Dianugerahkan ketinggian memang ada banyak kelebihan.
Individu tinggi mudah melakukan kerja-kerja pembersihan rumah, tidak mudah rasa sesak dalam ruangan sempit serta mudah menonton di pawagam (dan adakalanya mengganggu pandangan orang lain).
Selain itu individu bertubuh tinggi juga sukar untuk nampak gemuk kerana ketinggian yang ada menyebabkan figura mereka lebih langsing. Tetapi satu kelemahan utama yang paling menyeksakan individu bertubuh tinggi adalah risiko masalah postur.
Kehidupan seharian kita di Malaysia ini lebih mengutamakan individu bersaiz rendah, menjadikan banyak tabiat dan rutin yang perlu dibuat oleh orang tinggi memerlukan proses mengadaptasinya.
Proses adaptasi ini membuatkan individu tinggi selalu tunduk ketika berjalan, duduk dalam keadaan tidak boleh tegak demi mencari keselesaan dan perlu bekerja untuk jangka masa panjang dalam postur yang tidak sesuai dengan badan.
Tabiat-tabiat ini akan mula menyebabkan perubahan besar pada figura badan individu tinggi lampai perlahan-lahan.
Anda pasti biasa melihat individu tinggi ramai di antara mereka mengalami masalah sedikit bongkok bukan? Itulah yang akan terhasil pada badan, selepas menjalani adaptasi ini untuk satu tempoh yang lama.
Masalah postur ini memang boleh dikawal, namun malangnya menjadi lelaki tinggi di benua Asia Tenggara memang memberikan cabaran besar kepada mereka.
Perkara semudah bercakap dengan orang lain dan mengekalkan hubungan mata ke mata pun memerlukan proses adaptasi. Orang lain melihat sesuatu secara lurus pada pandangan mata. Orang tinggi memandang ke bawah, memerlukan kepalanya ditundukkan setiap masa.
Anda masih nak suami yang terlebih tinggi di mana anda perlu mendongak setiap kali nak bertentang mata? Anda perlu tahu dahulu, ketika saat romantik sebegitu leher suami anda sebenarnya sedang terseksa hanya semata-mata untuk merenung wajah anda.
Kami belum sentuh lagi bab nak ambil gambar sama-sama. Itu bab lainlah. Cukuplah lima dahulu.
Be the first to comment