HUKUM IBADAH KORBAN

//HUKUM IBADAH KORBAN

HUKUM IBADAH KORBAN

 

 

Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan hujah-hujah yang kuat.

 

 

Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim (tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

 

 

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

 

 

Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.

 

 

Adapun selain daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa ibadah korban adalah sunat dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:

 

 

“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

 

 

Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

 

“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir, menyembelih korban dan solat dhuha”.

(Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim).

 

 

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW:

 

 

“Aku telah diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”

(Riwayat Imam al-Tirmizi).

 

 

Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah korban adalah amalan yang sunat mu’akkad sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya.

 

(Visited 82 times, 2 visits today)
2017-07-17T21:11:47+00:00