Soalan : 

Ustaz, saya ingin bertanya mengenai zina. Zina ada berapa bahagian? Dan apa hukum berzina yang lebih terperinci. Sekian. Trime kaseh ustaz.

Jawapan : 

Firman Allah SWT : “Dan Janganlah kamu manghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah al-Isra’ ayat 32).

Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah SAW telah bersabda yang ertinya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (HR Bukhari).

Zina itu banyak peringkat berdasarkan hadis-hadis di atas : 

1. Zina Mata 2. Zina Telinga 3. Zina Lidah 4. Zina Tangan 5. Zina Kaki 6. Zina Hati dan 7. Zina Alat Kelamin. Hakikat zina yang dihukum dengan hukum hudud apabila zina menggunakan alat kelamin.

Kesalahan Zina.

Zina adalah kesalahan hudud pertama yang akan di laksanakan kepada pesalah perbuatan zina. Zina membawa pengertian sebagai ; “Suatu hubungan jenis atau hubungan seks yang dilakukan antara lelaki dengan perempuan secara haram atau tidak sah dari sudut syarak.”

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Israk (17) ayat 32)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud : “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah (rotan) tiap-tiap seorang dari keduanya seratus sebatan.”
(Surah An-Nur (24) ayat 2)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Ambillah peraturan dariku, ambillah peraturan dariku. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan jalan untuk mereka, teruna dan dara yang berzina hukumannya di sebat seratus kali dan dibuang negeri setahun dan yang sudah berkahwin hukumannya disebat seratus kali dan direjam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Umar sebagimana yang terdapat di dalam sahih Bukhari dan Muslim menyebut :

“Sesungguhnya Allah telah membangkitkan Muhammad SAW secara benar dan diturunkan kepadanya al-Quran, dan antara yang telah di turunkan kepadanya adalah ayat berkenaan hukum rejam, maka kami (sahabat) telah membacanya, menyedarinya dan memikirkannya, maka Rasul sendiri telah merejam (penzina) dan kami juga merejamnya selepas itu, maka aku bimbang sekiranya berlalu zaman, akan timbul mereka yang berkata : “Kami tidak dapati hukum rejam di dalam Kitab Allah”, maka jadilah mereka sesat dengan meninggalkan kefarduan yang diturunkan Allah, sesungguhnya rejam adalah haq dalam Kitab Allah (di kenakan) bagi penzina muhsan (sudah berkahwin) dari kalangan lelaki dan perempuan.” (Hadis Riwayat Bukhari no.6829. Kitab al-Hudud dan juga bab-bab lain. Muslim hadis no.4394, Abu Daud hadis no. 4418, Tirmidzi hadis no. 1432, Ibnu Majah hadis no. 2553)

Para fuqaha sependapat mengatakan bahawa jenayah zina mempunyai dua unsur penting iaitu :

1. Unsur fizikal iaitu perbuatan persetubuhan haram.

Bermaksud ialah perlakuan persetubuhan haram yang dilakukan oleh penzina samaada lelaki atau perempuan iaitu dengan memasukkan hasyafah (kepala zakar lelaki) kedalam faraj perempuan yang mana dengan perbuatan tersebut membolehkan penzina lelaki dan perempuan dikenakan hukuman hadd (hudud).

Maka dengan ini, segala bentuk perlakuan atau perbuatan lain antara lelaki dan perempuan seperti bercium, berpeluk, berkhalwat atau tidur bersama di atas satu katil di antara lelaki dan perempuan tidak dianggap sebagai kesalahan zina, sebaliknya merupakan satu perbuatan maksiat yang boleh dikenakan hukuman takzir.

2. Unsur moral iaitu niat jahat atau sengaja melakukan persetubuhan haram tersebut.
Darisegi moral pula, lelaki dan perempuan yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan sedar dan tahu bahawa perbuatan zina adalah perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Dalam hal ini, kejahilan tentang hukum agama tidak boleh di jadikan alasan bagi seseorang yang mengaku sebagai seorang muslim.

Syarat-syarat seseorang itu boleh disabitkan kesalahan zina :
Mengikut pendapat Jumhur Ulama hukuman zina dapat di jatuhkan atau disabitkan kepada pesalah zina dengan salah satu daripada 2 perkara iaitu :

1.Saksi.

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina.

Huraiannya :

1. Saksi .

Dalam Islam saksi mestilah terdiri daripada 4 orang lelaki yang adil.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu maka carilah 4 orang saksi (lelaki) di antara kamu yang menyaksikan perbuatan mereka itu.” (Surah an-Nisaa (4) ayat 15)

Saksi-saksi tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat berikut :

1. 4 orang lelaki (tertolak penyaksian daripada saksi perempuan)

2. Baligh

3. Berakal

4. Adil

5. Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

6. Islam (termasuk menjadi saksi orang yang bukan Islam)

7. Melihat sebenar-benarnya perzinahan tersebut berlaku dan dapat menerangkan secara terperinci bagaimana perbuatan zina itu berlaku.

Bagaimana hukuman jika bilangan saksi kurang daripada 4 orang?

Dalam hal ini, setiap kesalahan zina yang hendak dipertuduhkan kepada seseorang, tetapi tidak mempunyai bilangan saksi yang mencukupi iaitu 4 orang saksi lelaki, maka hukumannya : Tidak sah untuk disabitkan kesalaahn zina tersebut, bahkan saksi-saksi tersebut wajib dikenakan hukuman qazab (lihat surah an-Nisaa ayat 15)

2. Ikrar / Pengakuan daripada penzina.

Hukuman hudud boleh disabitkan terhadap seseorang penzina yang membuat pengakuan bahawa ianya berzina walaupun tanpa saksi dengan menepati syarat-syarat berikut :

1. Pengakuan tersebut mestilah di buat di hadapan hakim/ wakil hakim.

2. Pengakuan tersebut mestilah daripada orang dewasa yang waras / siuman.

3. Pengakuan tersebut dibuat secara lisan kecuali bagi orang-orang yang bisu.

4. Pengakuan tersebut dibuat dengan terang, jelas, tanpa menimbulkan sebarang keraguan.

5. Pihak yang membuat pengakuan memahami sebarang bentuk implikasi dan kesan terhadap pengakuannya.

(Rujukan : Kitab Fiqh Al-Jinayah – Perbahasan Undang-undang Jenayah Islam oleh Ustaz Mohd Rafizal Zulkifli Al Yamani)